Pertembungan antara Malaysia vs Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 (AFC Asian Cup) dijangka menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan dan serantau. Perlawanan ini akan berlangsung pada Selasa, 10 Jun 2025, jam 9.00 malam, bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Ini merupakan perlawanan kedua bagi kedua-dua pasukan dalam saingan peringkat kumpulan. Ia membawa kepentingan besar, bukan sahaja dari segi pungutan mata, tetapi juga sebagai penanda aras kekuatan sebenar pasukan selepas rombakan besar dilakukan oleh skuad negara.
Peluang Perbaiki Rekod Malaysia vs Vietnam
Malaysia berdepan cabaran getir apabila statistik menunjukkan mereka tewas dalam lima pertemuan terakhir menentang Vietnam. Jurang ranking dunia juga jauh, Malaysia berada di kedudukan ke-131, manakala Vietnam menghuni tangga ke-109 dalam ranking FIFA. Namun, setiap perlawanan adalah cerita baharu, dan bermain di hadapan penyokong sendiri memberi suntikan semangat luar biasa.
Menariknya, daripada 23 perlawanan yang direkodkan sejak tahun 1991, hanya dua berlangsung di Bukit Jalil. Keputusan berpihak kepada Malaysia dengan satu kemenangan dan satu keputusan seri. Pastinya ada satu motivasi tambahan untuk mengulangi sejarah.
Barisan Baharu Harimau Malaya
Perlawanan Malaysia vs Vietnam ini turut menyaksikan kemunculan beberapa pemain warisan yang telah mendapat kelulusan rasmi untuk mewakili skuad kebangsaan. Antara nama yang bakal menjadi perhatian ialah Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Jon Irazabal, dan Joao Figueiredo. Mereka menyertai dua pemain warisan terdahulu, Hector Hevel dan Gabriel Palmero, yang diperkenalkan pada Mac lalu.
Kesemua mereka merupakan sebahagian daripada transformasi skuad Harimau Malaya di bawah perancangan strategik Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang kini dilihat membuahkan hasil dari segi peningkatan kualiti permainan.

Siaran Langsung dan Platform Penstriman
Bagi mereka yang tidak berpeluang hadir ke stadium, perlawanan Malaysia vs Vietnam akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Arena Bola (saluran 803). Selain itu, RTM turut menayangkan aksi ini menerusi TV Okey dan Sukan RTM. Penonton juga boleh menyaksikan perlawanan secara live streaming melalui Sooka dan RTM Klik, di mana penstriman RTM adalah percuma.
Jadi jangan terlepas untuk ramai-ramai hadir ke stadium pada hari perlawanan atau saksikan secara langsung di depan tv. Terus berikan semangat dan dorongan untuk memastikan Harimau Malaya berjaya meraih 3 mata penting untuk meneruskan cabaran ke Piala Asia Arab Saudi 2027.