Itinerari Trip Bercuti Ke Korea (Seoul) Selama 6 Hari 5 Malam
Cuba cari tempat bercuti naik flight tak jauh sangat. Cuba cari tempat sejuk sesuai untuk jalan-jalan. Cuba cari tempat sesuai untuk trip sesuai semua family. Lepas beberapa hari terus decide untuk bercuti di Seoul, Korea untuk tahun 2023.
Semua pencarian ni tercetus lepas balik daripada Trip Ke Istanbul, Turki pada tahun lepas. Kalau sebelum ini, family abang aku je tak ikut, tapi kali ini parents aku decide untuk bawa semua sekali ahli keluarga iaitu seramai 14 orang termasuk 2 kanak-kanak bawah 6 tahun dan 2 baby bawah 2 tahun.
Jadi banyak la pertimbangan dibuat untuk cari tarikh yang sesuai. Cari waktu budak-budak cuti sekolah, bila musim tak sejuk sangat, kalau boleh taknak dalam bulan puasa dan sebagainya. Jadi kami decide untuk pergi ke Seoul, Korea Selatan dari 10 Mac hingga 17 Mac 2023.
Kalau tengok tarikh ni memang selama 8 hari. Tapi full day hanyalah 6 hari sahaja. Kami sampai di Korea pada tengah malam, jadi tolak satu hari dan kami pulang ke Malaysia adalah waktu Subuh, jadi tolak lagi satu hari. Total sebenar bercuti di Korea adalah 6 hari sahaja.
Selain itu, aku ada juga share tips untuk yang pertama kali nak travel ke Korea. Nak buat persediaan apa, nak sediakan dokumen wajib selain pasport, buat itinerary dan sebagainya. Boleh baca sebagai panduan.
Keperluan Wajib
Sekarang Korea dah tak sama macam dulu. Kalau dulu nak masuk Korea senang je macam negara-negara lain juga. Tak perlu khuatir apa-apapun. Setakat ada pasport, tiket flight semua, dah boleh masuk macam biasa.
Sekarang ni tidak boleh tidak atau wajib anda perlu dapatkan Kebenaran Perjalanan daripada pihak Korea atau dipanggil K-ETA (Mohon Sini). Jadi anda perlu mohon terlebih dahulu sehinggalah dibenarkan dan barulah boleh untuk datang ke Korea. Selagi tak lulus, tak boleh masuk Korea.
Anda boleh sahaja mohon sendiri. Tapi kami dulu siap suruh ejen untuk mohonkan. Alhamdulillah hanya sekali percubaan sahaja dan terus lulus.
Ada yang bagi tahu lebih baik dapatkan kelulusan K-ETA terlebih dahulu sebelum beli tiket flight. Sebab ianya valid untuk tempoh 2 tahun. Tapi kami dulu beli tiket flight dulu then baru mohon K-ETA. Pun lulus. Ikut selera masing-masing.
Selain itu, dinasihatkan untuk siapkan terus Q-Code dalam tempoh 48 jam sebelum bertolak ke Korea untuk tujuan kuarantin Covid-19 jika ada apa-apa berlaku. Ada ada pilihan untuk siapkan borang tersebut di airport. Tapi lebih baik anda buat di Malaysia sahaja di https://cov19ent.kdca.go.kr/ dan bawa je kod tersebut dalam phone. Nanti sampai scan sahaja.
Setakat ini, hanya 2 dokumen ini sahaja yang wajib dibuat jika anda ingin memasuki Korea Selatan iaitu K-ETA dan Q-Code.
*Update terbaru: Q-Code tidak lagi wajib untuk diisi dan tidak diperlukan untuk masuk ke Korea. Tapi k-eta masih wajib tau. Info penuh disini.
Tukaran Mata Wang
Untuk bulan Mac 2023, tukaran mata wang Korean Won (KRW) kepada Malaysia Ringgit (MYR) adalah 1000 Won = RM3.60. Lebih kuranglah. Jadi kesemua harga yang aku paparkan dalam artikel ni berpandukan kadar tukaran ni lah. Lebih mudah.
Jadi semua duit yang aku dah family gunakan sudah ditukar siap-siap di Malaysia. Rasanya tiada penambahan atau pengeluaran dibuat di Korea. Selain itu, ada juga guna kad kredit dan kad Wise atau BigPay selama berada di sana. Semua boleh guna. Jangan risau.
Total Kos Perbelanjaan Di Seoul, Korea
Sebelum aku share itinerary, aku kongsilah sikit total kos perbelanjaan selama berada di Korea termasuk tiket kapal terbang, pengangkutan, penginapan, aktiviti, tempat lawatan, makanan dan beberapa perkara lagi
i) Tiket Kapal terbang
Nampaknya, tiket ke Korea tidak seperti dulu. Dulu boleh dapat bawah seribu je. Sekarang lepas Covid-19 ni tiket flight semua dah mahal. Untuk penerbangan kali ini, kami menaiki Air Asia dengan harga RM1700 return seorang. Tiada transit, jangan risau terus ke Incheon daripada KLIA 2.
Setiap hari, anda boleh semak harga yang ditawarkan di website Air Asia untuk dapatkan tawaran yang terbaik. Boleh tengok harga dan beli tiket di website Air Asia sahaja di www.airasia.com
ii) Kos Pengangkutan
Untuk pengangkutan, selama berada di Korea kami hanya gunakan pengangkutan awam sahaja iaitu dengan menaiki Train Subway. Cuma ada penambahan seperti kos untuk Airport Transfer, bas ke jeti Nami Island, Feri ke Nami Island dan Cable Car untuk naik ke Namsan Tower. Itu sahaja.
Untuk Subway, kena dapatkan T-Money (macam kad TnG di Malaysia) iaitu dengan harga 3,000 Won (RM10.80). Kami hanya perlukan 10 keping sebab kanak-kanak bawah 6 tahun free, boleh lalu pagar bersama peneman. Sekali perjalanan, kena caj 1,250 Won (RM4.50). Tapi kalau jauh sangat hampir 1 jam perjalanan (anggaran), ada penambahan sikit lebih kurang 200 Won (72 sen). Murah je.
Anda boleh dapatkan di mesin setiap stesen subway atau mana-mana kedai runcit. Nanti nak balik pun boleh refund semuanya di office berdekatan stesen dan dapatkan balik lebihan yang ada di dalamnya.
Kemudian topup 20,000 + 5,000 + 10,000 iaitu total 35,000 Won seorang (RM126) sepanjang penggunakan Subway dan bas. Cukup! Siap ada lebih 3000 Won. Naik cable car 14,000 Won (RM50) untuk dewasa dan 10,500 Won untuk kanak-kanak.
Kemudian akhir sekali kami guna Airport Transfer sebab berjalan tengah malam dan pagi buta untuk bergerak ke airport dan dari airport. Dengan harga return kesemuanya 230,000 Won (RM828) untuk 2 van. Jadi RM83 seorang. Harga dan pengangkutan ni ditawarkan daripada owner Airbnb kami sendiri. Boleh nak contact, boleh pm saya.
Kos Pengangkutan kesemuanya adalah RM259 seorang sepanjang berada di Seoul, Korea.
iii) Kos Penginapan
Untuk penginapan sebenarnya terlalu banyak pilihan untuk anda menginap ketika berada di sana. Anda hanya perlu pilih tempat yang anda selesa sahaja. Tetapi tidak bagi kami, kerana perlu cari sebuah tempat yang mampu memuatkan seramai 14 orang dalam satu tempat dengan harga yang munsabah.
Jadi tempat paling sesuai adalah menggunakan Airbnb untuk cari sebuah apartment. Jadi lepas cari tu, jumpa satu sahaja pilihan yang paling sesuai dengan ciri yang aku nak dan alhamdulillah ianya tidak jauh daripada stesen Subway. Walaupun full day 6 hari, tapi kami terpaksa sewa selama 8 hari. Jadi total adalah RM8,000 untuk satu rumah dan tempahan dibuat dari Malaysia lagi mengguankan Airbnb.
Airbnb ini terletak di Mapo-gu yang mana kawasan yang sibuk dengan orang ramai. dekat dengan Hongik Uni. Station. Exact location, boleh tengok sini dan link Airbnb boleh tengok sini.
Kalau anda berminat, boleh tempah Airbnb Y1. Jadi daripada 8k tersebut, seorang bayar RM800 untuk 8 hari 7 malam.
iv) Kos Makanan
Korea bukan negara Islam, jadi untuk dapatkan makanan halal sedikit susah lah. Jadi kami decide bawa apa yang boleh bawah dari Malaysia. Macam biasalah bawa Kari Ayam Brahim, Maggi, ikan bilis, kicap, sos cili, sambal hitam dan macam-macam lagi la.
Breakfast sebelum jalan, memang masak sendiri dahulu di rumah dan ada beberapa hari bawa juga bekalan untuk makan tengah hari. Di sana ada dijual nasi segera dalam bungkusan di 7-eleven atau CU Mart. Boleh beli dengan harga 1500 Won. Cuma perlu panaskan dalam microwave je.
Selain itu, ada juga singgah 2, 3 kali kedai halal seperti Kampungku, Eid, Turkish Cruisine dan macam-macam lagi. Kos makanan bergantung sebab jarang makan luar, biasanya masak sahaja. Jadi aku tak masukkan.
v) Kos Aktiviti & Tempat
Untuk kos aktiviti ni ada dua tempat perlukan tiket masuk dan juga kami sewa hanbok di Gyeonbokgung Palace tapi dapat masuk percuma. Sepatutnya masuk istana tu kena bayar kalau tak pakai pakaian tradisi Korea.
Tiket Nami Island termasuk feri (Entry Visa) berharga 16,000 Won untuk dewasa dan 13,000 untuk kanak-kanak. Kalau masuk lewat belah petang, tiket murah sikit. Jadi seorang RM57.60. Kemudian tiket Lotte World Adventure berharga RM140 seorang. Beli tiket di klook sahaja lebih murah. Boleh beli sini.
vi) Lain-Lain Kos
Untuk lain-lain kos tambahan adalah seperti berikut:
- Pocket Wifi Korea daripada KT Olleh. Aku tempah di klook di Malaysia dengan harga RM176.80 untuk 2 device selama 8 hari. Jadi seorang RM17 seorang. (Tempah Sini)
- Takaful TripCare 360 + Covid untuk individu = RM87.50 seorang (Kalau pakej family, pasangan lebih murah). Boleh tengok sini.
TOTAL KOS - Jadi jumlah kos dan perbelanjaan trip dan percutian aku dan keluarga ke Seoul, Korea kali ini tidak termasuk kos makan dan shopping adalah RM3800/seorang. Itulah lebih kurang.
Kos tandas percuma sebab masuk dalam tandas subway je.
Itinerary Trip Di Seoul, Korea
Kami sampai di Incheon Airport jam 11.00 malam waktu Korea pada 10 Mac. Kemudian gerak ke tempat penginapan dan sampai jam 12.00 tengah malam. Jadi hari pertama memang tak sempat buat apa-apa even dah sampai ke Korea. Jadi hari pertama adalah bermula pada 11 Mac iaitu keesokan harinya.
Sebelum itu, terpaksa bergegas untuk ambil Pocket Wifi di pintu 10 ketika di Incheon Airport. Aku keluar di pintu 2. Betapa jauhnya berjalan dan dalam masa yang sama terpaksa bergegar sebab driver dah tunggu lama.
Untuk K-ETA aku tak pasti di imigresen dieorang tengok atau tidak, tapi aku dah selik dalam pasport. Tapi di KLIA ada staff yang semak lebih awal K-ETA semua penumpang. Jadi bawa dan sila print siap-siap.
Keluar sahaja daripada kabin kapal terbang, aku perlu siapkan Q-Code. Tapi kalau dah buat dari awal di Malaysia, hanya bawa kod itu sahaja dan imbas. Setel dan boleh bergerak ke imigresen. Alhamdulillah, tiada perkara yang tidak baik berlaku. Staf tak check pun bag kami. Lagi pun memang tak bawa benda pelik-pelik.
Lagi satu, anda perlu siapkan borang individu yang diberikan dalam flight. Yang penting nama dan tempat tinggal selama di Korea. Ini procedure, jadi kena ikut je la deh.
Day 1 (11 Mac 2023 - Sabtu)
[Ewha Women University > Starfield Library]
Sebab hari pertama ni penat sikit, itinerary asal terpaksa diubah sikit. Selain itu, masih belum biasa untuk naik subway dan shock bila tengok sampai ada lebih 10 line. Tapi nasib baik guna je apps Naver Map, semua benda jadi mudah kalau nak naik subway.
Destinasi paling dekat dengan tempat penginapan kami iaitu area Hongik University adalah Ewha Women University. Disini memang tempat belajar tetapi ada tarikan tersendiri apabila bentuk unik yang ditawarkan sehingga ramai pengunjung yang akan datang sini. Jangan risau masuk percuma sahaja. Katanya hanya tutup bila pelajar ada peperiksaan sahaja. Sini lebih tempat untuk bergambar sahaja.
Kemudian terus bergerak ke destinasi kedua di Starfield Library yang terdapat di dalam COEX Mall. Disini terdapat sebuah library yang besar dimana ianya dibuka kepada orang ramai. Sambil shopping, boleh la lepak sini baca buku. Masuk percuma. Tarikan utama pastinya untuk bergambar lah. Malam cantik, baru nampak lampu-lampu dan susunan buku tu semua.
[Cara Pergi]
- Hongik Univ. Station (Line 2) dan turun di Ewha Women Univ. Station (exit 3). Kemudian jalan kaki sikit 10 minit
- Ewha Women Univ. Station (Line 2) dan turun di Samseong Station (exit 6). Terus sampai ke mall tersebut
Day 2 (12 Mac 2023 - Ahad)
[Dongdaemun Design Plaza > Restoren Kampungku]
Selama berada di Korea, hari ini sahaja yang hujang dan nasib baik sampai pukul 1.00 tengah hari sahaja. Taknak merisikokan diri untuk redah hujan. Sebab ada budak-budak kan. Takut demam, apa pun tak dapat pergi.
Lepas habis je hujan, terus bergerak ke Dongdaemun Design Plaza (DDP). Tempat yang ada sebuah bangunan unik dan futuristik. Sini untuk bergambar je la. Ada tempat berbayar dan masuk free. Habis masa kat sini, sebab ada playground. Memang budak-budak habis masa kat sini je la.
Jadi sebab masih awal, decide untuk cuba restoren terkenal iaitu Kampungku dimana anda boleh cakap melayu. Kat sini pekerja pun orang melayu. Kat sini makan je la. Ada menu Malaysia macam nasi goreng, nasi lemak semua atau makanan Korea. Tapi paling best, korang perlu cuba ayam goreng dia. Tak tahu lah, sedap betul makan ranggup-ranggup dan panas-panas. Kat luar sejuk.
Kat sini juga disediakan surau. Tandas ada bidik. Kalau tak makan pun boleh guna surau jangan risau. Free of charge. Tapi Halal Mart tu dah tutup la. Tak dapat nak beli barang bawa balik. Kat sini dekat je dengan Myeondong Street. Lalu la sekejab sekali harung. Buat raso-raso sebab hari last baru datang as planned.
[Cara Pergi]
- Hongik Univ. Station (Line 2) dan turun di Dongdaemun History & Culture Park Station (exit 1). Terus sampai
- Dongdaemun History & Culture Park Station (Line 4) Myeong-dong Station (exit 3). Jalan 5 minit dan sampai terus ke restoren tersebut
Day 3 (13 Mac 2023 - Isnin)
[Gyeongbokgung Palace > Namdaemun Market]
Hari ni barulah betul jadi Korea apabila kami decide untuk pergi ke Istana Gyeongbokgung dan merasai pengalaman untuk memakai pakaian tradisi Korea iaitu Hanbok. Sewa je la, bukan beli.
Sebenarnya untuk masuk ke istana ni, kena beli tiket. Jadi anda boleh beli di klook sahaja (sini) dengan harga RM123. Tapi anda boleh masuk secara percuma kalau anda pakai hanbok lengkap dari atas ke bawah. Banyak kedai yang sediakan sewa. Aku sewa di Daehan Hanbok. Boleh la cari. Sama je mana-mana lebih kurang.
Dah sewa semua, barulah boleh masuk terus ke kawasan istana. Tarikan utama untuk bergambar je la. Tapi jangan lupa setiap pukul 2.00 petang akan ada upacara pertukaran pengawal di pintu masuk. Boleh la tengok sambil-sambil tu. Tempat terlalu besar, tak sempat nak explore semua tempat. Lagi pula hari tu rasa sejuk sangat.
Lepas habis bergambar semua, bergerak ke Namdaemun Market untuk cuba nasib kalau sempat untuk shopping. Sebab kat sini dia tutup pukul 5.00 petang. Malangnya sampai sini, banyak dah kedai tutup. Ada apa kat sini? Nanti aku cerita kat bawah, sebab aku pergi sekali lagi.
[Cara Pergi]
- Hongik Univ. Station (Line 2) dan tukar Line 3 di Euljiro 3(sam)-ga Station dan turun di Gyeongbokgung Station (exit 5). Anda ke kiri untuk terus sampai ke kawasan istana atau ke kanan untuk pergi sewa hanbok dulu di kawasan luar istana. 10 minit je lebih kurang jalan kaki lepas tu.
- Guna Gyeongbokgung Station (Line 3) dan tukar Line 4 di Chungmuro Station dan turun di Hoehyeon Station (exit 5). Terus sampai ke street tersebut untuk shopping
Day 4 (14 Mac 2023 - Selasa)
[Lotte World Adventure]
Kalau datang Korea ni ada dua theme park kena singgah iaitu Everland atau Lotte World. Everland lebih kepada outdoor activities dan Lotte World adalah 'Disneyland' Korea yang mana lebih fokus kepada mainan indoor.
Pada awalnya dah plan untuk ke Everland, tapi last minutes pertukaran jadual semuanya terpaksa berpindah ke Lotte World. Apa-apapun kena pergi juga, lagi pula memang ramai budak-budak dalam trip kali ni. Jadi last minit juga beli tiket online di klook dengan harga RM140 sahaja. Beli di kaunter lebih mahal tau. Boleh beli online sini.
Kat luar sejuk, nasib baik juga pilih indoor game ni. Banyak permainan boleh main dengan bebas. Sebab cuaca tak sejuk pun. Memang disini, korang kena spent time seharian, dari pagi hingga malam, waktu tutup.
Tempat ni sangat sesuai kalau ada anak kecil...
FYI, permainan disini banyak, tapi lebih kepada mood kanak-kanak. Tidak terlalu ekstrem. Tapi nak lebih ekstrem, main di outdoor. Kat sini juga, ada beberapa persembahan yang akan dimainkan. Jadi anda boleh tengok jadual waktu yang ditetapkan. Ada persembahan jalanan (parade) dan persembahan pentas dan paling utama persembahan lampu castle dimainkan pada belah malam. Katanya akan ada bunga api juga. Tapi hari tu kami pulang awal sebab lapar.
BACA : Beli Tiket Lotte World Adventure Lebih Murah Secara Online
Yes, kat dalam ni rupanya tiada makanan yang ada cop halal. Jadi berhati-hatilah nak makan. Lebih baik bawa makanan sendiri dari luar. Gayanya boleh je bawa makanan luar. Selain itu, surau ada disediakan ditingkat 3F. Jangan risau.
[Cara Pergi]
- Hongik Univ. Station (Line 2) dan turun di Jamsil Station (exit 4). Jalan ikut dalam mall dia pun ok sampai ke pintu utama.
Day 5 (15 Mac 2023 - Rabu)
[Nami Island]
Antara tempat yang aku tunggu-tunggu nak pergi adalah Nami Island. Dah sampai Korea memang wajib la singgah sini. Lagi pun dia tak lah terlalu jauh sampai nak bermalam disana. Boleh sahaja balik hari. Kami sekali lagi decide untuk spent seharian di pulau tersebut sahaja.
Nak masuk Nami Island ada 2 cara sahaja iaitu menaiki feri atau zipline dan ianya juga termasuk tiket masuk la kiranya. Harga naik feri ialah 16,000 Won dan zipwire 44,000 Won. Boleh beli tiket di kaunter atau secara online di klook. Tiket Feri sini dan tiket zipline sini.
Ianya memang sebuah pulau dan diindahkan dengan susunan pokok pine yang cantik gila. Masa kami datang winter nak masuk spring tapi bunga masih tidak kelihatan. Hanya pokok tanpa daun sahaja yang banyak. Salji pun ada satu tempat je masih ada. Yang belum cair. Pokok tanpa daun pun cantik, kalau musim luruh dengan warna daun keemasan pastinya lebih cantik.
Jadi tarikan utama pastinya bergambar di setiap susunan dan antara barisan pokok-pokok tersebut. Selain itu, kalau penat berjalan, ada disediakan basikal untuk anda sewa. Satu basikal individu 8,000 Won untuk sejam. Cukup je kalau nak ronda seluruh pulau sebenarnya. Bagi aku, sangat berbaloi anda sewa basikal. Lagi pula banyak tempat cantik yang jauh tak ramai orang. Jadi best lah kalau nak bergambar.
Untuk kemudahan sini, semuanya lengkap. Surau besar, tandas, restoren halal pun ada (Asian Cruisine), tempat panaskan badan pun ada, tempat picnik dan macam-macam lagi. Tapi mudah, bawa je makanan sendiri, masak dari rumah. Lebih jimat. Siap celebrate birthday my mom lagi. Kami sampai tengah hari dan keluar pukul 6.00 petang. Cukup lah.
BACA : 3 Cara Untuk Pergi Ke Nami Island
[Cara Pergi]
- Hongik Univ. Station (Line Gyeongui-Jungang) dan tukar Line Gyeongchun di Mangu Station dan turun di Gapyeong Station (exit 1). Kemudian ambil bas 10-4 dan turun di perhentian terakhir di jeti Nami Island. Dari sinilah, anda boleh naik feri atau zipwire untuk terus ke Pulau Nami.
- (Perjalanan keseluruhan ambil masa 2 jam)
Day 6 (16 Mac 2023 - Khamis)
[Itaewon (Mosque) > Namdaemun Market > Namsan Tower > Myeongdong Street]
Hari terakhir kami cuba mampatkan untuk pergi ke tiga tempat bermula di Itaewon. Fokus utama sini adalah untuk singgah Seoul Central Mosque. Masjid terbesar di Korea. Sebagai muslim, carilah masa dan selitkan itinerary anda untuk datang ke masjid ini. Alhamdulillah, kami sampai sahaja bilal sedang azan Zohor. Terus ambil wuduk di bawah dan berjemaah dengan imam Korea.
Sini bukan masjid je best, kawasan sekitar pun best sebab ada muslim street dimana hampir semua kedai disitu menjual barangan halal. Restoren halal, kedai runcit jual ayam, daging dan barangan dapur semua halal. Tanpa ragu punya. Jadi tips untuk yang nak datang Korea, datang la Itaewon pada hari pertama dan kemudian beli stok seminggu ayam, daging semua kat sini dan boleh masak kat rumah. Lagi pula boleh start dengan solat di masjid kan.
Selepas selesai makan di restoren sekitar muslim street Itaewon tu, terus bergerak ke Namdaemun Market sekali lagi sebelum tutup pukul 5.00 petang. Tujuan utama adalah shopping souvenir. Sinilah tempatnya dengan nama kedai Bokminsa di tingkat 2 dalam bangunan. Bawa balik sebagai kenang-kenangan. Biasalah kan. Keychain, fridge magnet, bookmark dan sebagainya. Kedai-kedai lain pun ada je kalau nak usha. Selain itu, sini juga syurga barangan kemas seperti brooch. Boleh la cari kalau berminat.
Cari, ambil, bayar. Dah setel terus bergerak ke Namsan Tower. Ada pilihan untuk berjalan kaki terus ke puncak. Tapi bawa stroller, bawa parents takkan nak jalan kaki kan. Jadi kami pilih untuk naik cable car dengan harga 14,000 Won sahaja seorang untuk tiket return. Ini baru harga naik ke puncak di kaki menara tau, belum naik ke menara. Itu kena bayar lain pula. Duduk di kaki menara pun dah menarik untuk bergambar.
Dah setel, turun semula dan destinasi terakhir adalah Myeongdong Street. Antara tempat yang terkenal dengan street food Korea dan pastinya surga skin care. Untuk perempuan a yes. Untuk aku memang tak lah beli skin care. Jadi sudahnya cari makanan yang boleh makan lah.
Alhamdulillah aku dapat cuba tiga jenis makanan iaitu chicken skewer, bahulu ikan dan bahulu telur kot. Paling best dan anda wajib cuba adalah Grilled Chicken Skewer. Sedap gila, makan panas-panas, pedas masa cuaca sejuk. Jangan risau, kedai ni memang certified halal bukan sekadar tampal sahaja. Kedai-kedai lain ada yang sekadar tampal tau. Tapi terserah la nak cuba atau tidak.
[Cara Pergi]
- Hongik Univ. Station (Line 2) dan tukar Line 6 di Hapjeong Station dan akhir sekali turun di Itaewon Station (exit 3). Kemudian jalan dalam 10 minit, akan sampai ke masjid tersebut. Kena mendaki sikit.
- Itaewon Station (Line 6) dan tukar Line 4 di Samgakji Station dan turun di Hoehyeon Station (exit 5). Jalan kaki sikit dah sampai ke Namdaemun Market.
- Naik di Hoehyeon Station (Line 4) dan turun di Myeongdong Station (exit 1). Di exit 1 ni, anda tunggu bas percuma warna hijau kuning bertulis 'Namsan Cable Car'. Naik bas ni yang mana dia akan bawa terus ke Namsan Cable Car. Takpayah penat berjalan. Dari cable car tu, dalam 5 minit terus sampai ke puncak Namsan Tower
Pengalaman Bercuti Di Seoul, Korea
Ini kali ketiga sebenarnya aku guide untuk pergerakan ketika bercuti di luar negara untuk family. Mula-mula di Perth, kemudian di Istanbul dan terbaru di Seoul, Korea. Kalau dah DIY ni, memang kalau boleh bergerak dengan harga yang murah iaitu menaiki pengangkutan awam. Kelebihan iainya murah tapi ia pasti memenatkan. Yang penting berbaloi.
Tapi dari pengalaman, of coz kalau ada stroller ni kita slow sikit la. Sebab kena cari lift dan kadang kala exitnya berlainan dengan plan kita. Setiap stesen tu exit dia banyak tau. Memang besar lah. Jadi kalau dah keluar tempat lain, kena cari semula exit yang kita nak tu.
Alhamdulillah setakat disana, tak pernah lagi salah naik stesen. Salah exit tu biasa. Takda jalan yang terlalu jauh macam aku alami seperti di Istanbul. Belajar dari kesilapan. Setting di apps 'less walking' dan fokus naik subway sahaja instead of bas. Takut sesak dan susah nak bawa masuk stroller.
Cuaca pula lebih sejuk berbanding di Istanbul. Kebiasaanya bawah 10°C. Pernah sekali cecah sampai 1°C. Sejuk weh. Ada matahari, tapi tak membantu. Ada sekali hidung aku berdarah, tapi bukanlah mengalir keluar.
Secara keseluruhan, semua enjoy kot walaupun ada 1-2 tempat tak sempat singgah haha Lagi pula akhirnya harapan untuk bercuti semua ahli keluarga tercapai. Penat tapi enjoy dan berbaloi. Pengalaman yang jarang kita dapat.
Korea juga antara negara yang menarik, best dan selamat untuk dilawati. Rasanya kalau jenis kaki kdrama, layan kpop, layan makanan korea, memang korang akan enjoy the fullest lah.
Inilah antara itinerary yang aku boleh kongsi untuk pembaca semua yang nak berjalan di Seoul, Korea secara sendiri tanpa ejen. Korang buat sendiri je, plan sendiri, gerak sendiri. Seriusly aku cakap, mudah dia 99%. Yang penting ada internet, T-money dan money. Setel.
Akhir sekali, terima kasih ibu dan ayah aku sebab sponser sikit trip kali ni hehehe
Hope enjoy semua!
15 comments for "Itinerari Trip Bercuti Ke Korea (Seoul) Selama 6 Hari 5 Malam"